April 2009 menandakan genap 14 tahun anak seni yang tiada tandingan ini melayari kehidupan di pentas yang penuh pancaroba.
Tarikh keramat itu juga merupakan permulaan segalanya bagi wanita ini apabila album sulungnya, Siti Nurhaliza yang memuatkan lagu popular Jerat Percintaan dan Jawapan Di Persimpangan dipasarkan.
Sepanjang tempoh itu jugalah, peminat dan pemerhati muzik tempatan serta nusantara menyaksikan transisi figura unggul ini membina dirinya menuju kematangan, baik dalam kerjaya seninya mahupun kehidupan peribadinya.
Tempoh 14 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat untuk wanita bernama Datuk Siti Nurhaliza Tarudin untuk membina empayar seninya sehingga mampu digelar penyanyi nombor satu negara.
Katalah dan lemparkanlah apa sahaja kata-kata nista walaupun kedengaran kurang enak kepadanya, langsung tidak akan membuatkan dirinya berganjak dari apa sahaja yang beliau ingin lakukan demi kebahagiaan dan kebaikan dirinya.
Lakaran kehidupan biduanita muda negara ini sememangnya penuh warna-warni. Suka, duka, pahit dan manis.
Lengkap segala rencah dan menyingkap sejarah kariernya, perjalanannya untuk menduduki takhta teratas seperti hari ini tidak berlaku semalaman.
Sebaliknya, panas terik dan hujan badai yang perlu dilaluinya tanpa mengira penat lelah di awal kemunculannya untuk mencipta nama sebagai seorang penyanyi selepas kejayaannya merangkul gelaran juara Bintang HMI 1995.
Bukan itu sahaja, di kala usia yang ketika itu mencecah 16 tahun, Siti mengorbankan usia remajanya dalam menggapai impian dan cita-cita untuk bergelar seorang penyanyi sedangkan rakan-rakan sebayanya bertarung dengan buku serta bersengkang mata siang dan malam untuk memperoleh kejayaan cemerlang di dalam pelajaran.
Itulah dinamakan takdir dan sememangnya sudah tertulis di loh mahfuz bahawa masa depannya sememang cukup cerah dalam bidang seni suara.
Siti cukup bertuah kerana dia hadir dengan pakej yang lengkap yakni suara gemersik bagaikan buluh perindu di samping memiliki wajah jelita dan manis.
Selain kehebatan vokalnya, keperibadiannya yang masih lagi mempertahankan budaya dan adat ketimuran juga menjadi faktor mengapa Siti diminati dan disanjung oleh pemujanya.
Cukup luar biasa
Tidak terhenti setakat itu, siapa yang boleh lupa kejayaan sulungnya dalam bidang nyanyian apabila lagu dendangannya, Jerat Percintaan dinobatkan sebagai Juara Lagu 1996 dengan mengalahkan penyanyi wanita popular ketika itu, Ziana Zain.
Bermula detik itu, Siti tidak lagi menoleh ke belakang dan dia menjadi semakin yakin dengan dirinya yang mampu untuk mencipta nama sebagai seorang penyanyi popular.
Malah, namanya juga semakin meniti di bibir masyarakat serta peminat yang mula menyanjung bakat besar yang dikurniakan Allah s.w.t. kepadanya itu dan dia berjaya mencipta populariti yang cukup luar biasa.
Sudah menjadi adat manusia yang perasaan cemburu dan iri hati akan tetap terbit dalam hati dan setiap kali Siti mencipta kejayaan serta kecemerlangan, ia pasti akan mengundang perasaan ketidakpuasan dan polemik di kalangan peminat dan karyawan seni tanah air sendiri.
Siapalah kita untuk mempersoalkan setiap rezeki yang telah ditentukan oleh Allah.
Siti sendiri mungkin tidak pernah bermimpi mahupun memasang impian untuk menggenggam kejayaan luar biasa seperti yang dikecapinya hari ini.
Ruangan ini juga terlalu terhad untuk menyenaraikan kejayaan dan kegemilangan yang diraih Siti sepanjang 14 tahun bergelar penyanyi dan penghibur tersohor negara dan juga nusantara.
Sehingga kini, dianggarkan lebih daripada 150 anugerah dari dalam dan luar negara yang menjadi milik mutlak penyanyi berdagu lekuk ini sehingga tidak terhitung jumlahnya.
Namakan saja. Anugerah Juara Lagu, Anugerah Bintang Popular, Anugerah Industri Muzik, Anugerah Era, Anugerah Planet Muzik dan pelbagai anugerah lagi, semuanya sudah menjadi prasasti seni seorang yang bernama Siti Nurhaliza.
Bukan sekadar kisah kejayaannya yang menjadi perhatian tetap kehidupan peribadinya juga cuba ditelanjangkan.
Tetapi ketegaran Siti mempertahankan privasinya amat disanjung tinggi sehinggalah dia mengambil keputusan untuk menamatkan zaman bujangnya dengan seorang ahli perniagaan terkenal, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa pada 21 Ogos 2006 dalam perkahwinan yang dilabelkan sebagai wedding of the year.
Pun begitu, bahtera perkahwinan mereka berdua yang akan menginjak usia tiga tahun pada Ogos nanti tidak pernah henti diuji. Walaupun pelbagai kata-kata kurang enak menyelubungi ikatan suci mereka, namun, cinta mereka tetap kukuh dan bahagia sehingga ke saat ini meskipun jurang usia mereka sangat besar.
Konsert amal
Berbalik kepada karya seninya, sepanjang 14 tahun ini, evolusi muzik nyanyian Siti dilihat begitu ketara. Mengenali Siti, beliau tidak pernah lelah untuk mencuba sesuatu yang baru dalam memberikan yang terbaik untuk mengukuhkan lagi legasi seninya.
Lagu-lagu hits dan popularnya antaranya seperti Aku Cinta Padamu, Cindai, Purnama Merindu, Hati Kama (duet bersama Noraniza Idris), Kau Kekasihku, Balqis, Percayalah, Nirmala, Dialah Di Hati, Bukan Cinta Biasa, Biarlah Rahsia, Ku Mahu, Melawan Kesepian serta yang terbaru, Di Taman Teman sememangnya cukup diminati
Apa yang pasti, rangkaian lagu-lagunya itulah yang berjaya meletakkan dirinya di puncak tertinggi. Yang amat diimpikan oleh penyanyi bersuara emas ini adalah untuk mendokumentasikan lagu-lagu dendangannya itu dalam satu konsert khas yang akan diadakan sekitar bulan Jun depan.
Semuanya itu adalah untuk meraikan ulang tahunnya ke-14 bersama peminat-peminatnya yang tidak pernah henti menyokongnya serta menjadi tulang belakang kejayaannya selama ini.
Bukan tidak pernah dia membuat persembahan sedemikian rupa kerana pentas agung Royal Albert Hall, London pernah menjadi saksi lagu-lagunya berkumandang di segenap maya dewan penuh keramat itu pada tahun 2005.
Tetapi kata Siti, kali ini konsert yang akan diadakan di pentas bertaraf dunia, Istana Budaya itu akan memberikan satu persembahan dan pendekatan yang cukup berbeza.
Malah dia tidak segan untuk mengakui konsep persembahan yang ada di dalam kotak fikirannya kini adalah berinspirasikan daripada konsert Celine Dion Live In Vegas.
Meskipun begitu, ia bukanlah sembarangan konsert kerana ia adalah konsert amal di mana sebahagian daripada hasil penjualan tiket akan disalurkan kepada Yayasan Nurjiwa.